Rahsia Rakaat di dalam Solat

Assalammualaikum wbk.

Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke
hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi
kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang
dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad ibni
Abdullah saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda, para
tabi’in dan tabi’ attabi’in serta seluruh muslimin dan muslimat yang
dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua penggerak wadah egroups
tercinta, saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat panduan,
kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam kerberkatan
untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran dan
memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan beragama
Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dengan izin moderator budiman. Berikut saya sisipkan pengetahuan yang
boleh dikongsi serta disebarkan bersama. Insyaallah ada manfaatnya.

Rahsia Rakaat di dalam Solat

Ketahuilah hikmah ditentukan solat ditetapkan lima waktu berserta
rakaatnya. Hukama’ ada berkata “Ditentukan tiap-tiap solat itu (kerana)
setiap solat (diwakilkan) oleh seseorang Nabi daripada Anbiya Allah swt.
pada waktunya”

Solat Subuh

Nabi yang pertama sekali solat fardhu Subuh ialah Nabi Adam as. tatkala
baginda keluar daripada syurga. Melihat akan zulmah (kegelapan), Nabi Adam
as. menjadi takut yang amat sangat. Di kala Subuh dan pecah (terbit)
fajar, solatlah Nabi Adam as. dua rakaat

Rakaat pertama bermaksud syukur Nabi Adam as. kerana dilepaskan
daripada kelam (kegelapan)
Rakaat kedua bermaksud syukur Nabi Adam as. kerana kembali siang hari
(terbit fajar)

Solat Zuhur

Firman Allah swt. di dalam Surah As-Saaffaat ayat 102 dan 103

[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan
dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak
kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan
menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”

[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah
itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)

Nabi yang pertama sekali yang menunaikan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim as.
tatkala keluar perintah Allah swt. yang menyeru Nabi Ibrahim as.
menyembelih anakandanya Nabi Ismail as. Datangnya perintah Allah swt. pada
ketika gelincir (sedikit) matahari. Maka bersolatlah Nabi Ibrahim as. empat rakaat

Rakaat pertama bermaksud syukur bagi penebusan
Rakaat kedua bermaksud membukakan (meleraikan) dukacita anakandanya
Rakaat ketiga bermaksud menuntut keredhaan Allah swt.
Rakaat keempat bermaksud sebab diberi penebus (tukar ganti) yang amat
besar seperti mana firman Allah swt. di dalam Surah As-Saaffaat ayat
107

[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan (kibasy)
yang besar;

Nota: Kibasy yang dibawa turun daripada syurga iaitu kibasy Habil

Solat Asar

Nabi Yunus as. adalah nabi yang pertama sekali menunaikan solat Asar ketika
Allah swt. mengeluarkan baginda daripada perut ikan Nun ibarat burung yang
tidak berbulu. Keadaan Nabi Yunus as. ibarat berada di dalam empat kelam

i. Kelam zulmah kesalahan
ii. Kelam airnya
iii. Kelam malam
iv. Kelam perut ikan

Ketka Nabi Yunus as. berjaya keluar daripada perut ikan Nun pada waktu Asar
dan bersolatlah Nabi Yunus as. sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt.
daripada terlepasnya empat zulmah (kegelapan) itu tadi

Solat Maghrib

Solat Maghrib adalah solat Nabi Isa as. tatkala baginda diangkat oleh Allah
swt. daripada kaumnya. Pada waktu itu matahari telah jatuh (maghrib)

Rakaat pertama bermaksud menafkan adanya tuhan selain daripada Allah
swt.
Rakaat kedua bermaksud menafikan tohmahan terhadap bondanya, Mariam
daripada dituduh kaumnya
Rakaat ketiga bermaksud memberi bukti tuhan itu satu iaitu Allah swt.
Kerana dengan ini juga kedua-dua rakaat dia atas itu saling
berhubung. Manakala yang ketiga itu tinggal sendirinya

Solat Isya

Nabi Musa as. adalah nabi yang pertama menunaikan solat Isya tatkala
baginda sesat sewaktu keluar daripada negeri Madyan (perbatasan Hijaz dan
Syam). Pada saat itu juga isteri Nabi Musa as., Shafura (anakanda Nabi
Syu’aib as.) berada di dalam keadaan berdukacita dan begitu juga saudaranya
Nabi Harun as. turut di dalam keadaan berdukacita, musuh Nabi Musa as.,
Firaun turut berdukacita berserta beberapa orang anaknya.

Maka dilepaskan oleh Allah swt. mereka daripada keadaan dukacita dengan
janjNYA dan berlaku pada waktu Isya yang akhir. Maka solatlah Nabi Musa
as. sebagai tanda syukur terlepas daripada segala bentuk dukacita yang
empat itu.

Pada riwayat yang lain ada juga menyebut solat Subuh itu solat Nabi Adam
as., solat Zuhur itu solat Nabi Daud as., solat Asar bagi Nabi Sulaiman
as., Nabi Ya’akub solat Maghrib dan Isya itu solat Nabi Yunus as.

Dipetik dari Kitab “Mun-Yatul Mushalli” Sheik Daud Al-Fathani, halaman 73
sehingga 75

Wassalam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *