Kahwin Misyar – Part 2

Ni pula cerita Kahwin Misyar dari mSTAR Online

Nikah Misyar galak lelaki jadi gigolo dan wanita hamba seks!
14-06-2006 05:46:45 PM
Zieman
Kecoh apabila pensyarah universiti Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid tiba-tiba mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita bujang dan andartu di negara ini.

Menurut beliau, perkahwinan misyar mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat pula berkata misyar dibolehkan dalam Islam asal saja seseorang wanita itu memberikan keizinan.

Prinsipnya tak ubah macam berpoligami di mana wanita memberi izin. Oleh kerana penerangan mengenai hukum mengenainya masih samar, dikhuatiri, ianya akan menerima nasib serupa seperti poligami, meskipun halal namun masih dipandang dengkel oleh sebahagian masyarakat kita.

Tentu ada dalil kenapa misyar diboleh atau diharuskan kerana masa kan orang alim yang disegani seperti Syeikh Dr Muhammad Tantawi berani mengeluarkan fatwa sekiranya beliau tidak mengkajinya dengan teliti.

Tapi apakah sandaran dalil Al-Quran dan As-sunnah yang menjadi hujahnya? Itu yang ramai ulama kita masih berbelah bagi.

Tapi apa yang memeranjatkan, menurut undian yang dilakukan oleh mStar "Adakah wajar perkahwinan misyar diamalkan dinegara kita?", seramai 68.3% bersetuju dengan konsep nikah misyar ini dan hanya 24.1% sahaja yang tidak bersetuju sementara 7.6% berkata ianya bergantung kepada keadaan.

Walau apapun pendapat tinjauan yang dibuat, isu nikah misyar ini tidak boleh dianggap mudah kerana kesannya besar dan boleh memudaratkan kepada kaum wanita dan anak-anak di dalam jangkamasa panjang.

Dari mana asalnya Misyar?

Ada sepuluh bentuk mubalaghah dalam bahasa Arab dan dua di antaranya adalah dua perkataan ini – zawwaq dan mitlaq. (Lihat, al-Jurnani, Shaza al-'Arf fi fanal-Sarf). Zawwaq yang berasal dari zauq atau rasa, mempunyai erti banyak atau sering 'merasakan' dengan pengertian selalu berkahwin manakala mitlaq yang berasal dari talaq mempunyai erti banyak atau selalu melakukan perceraian.

Mitlaq membawa maksud kata misyar yang sedang heboh diperkatakan sekarang. Kedua-duanya dalam satu bentuk mubalaghah yang sama iaitu mif'al. Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara.

Jadi kahwin misyar adalah kahwin pengembara. Bunyinya sahaja dah pelik, apa lagi kalau kita cuba mengkaji kewarasan diharuskan nikah misyar ini diwaktu sekarang.
Ini adalah kerana pengamalnya secara nyata adalah kerahsiaan, tidak ada wali, tidak perlu memberi nafkah zahir, tidak perlu tinggal bersama dalam satu bumbung dan si lelaki mempunyai niat menceraikan siperempuan bila-bila masa tanpa diketahui bila masanya sahaja.

Sejarah Nikah Misyar dan Jenis Kahwin yang diharamkan

Di dalam sejarah kedatangan Islam ke Makkah, terdapat banyak bentuk perkahwinan yang diamalkan orang jahiliyyah.

Di antaranya:
1) Kahwin al-maqt iaitu anak tertua mengahwini isteri bapa yang meninggal dunia
2) Kahwin al-khidn iaitu seorang isteri mempunyai lelaki lain selain suaminya
3) Kahwin al-istibda' iaitu si suami menyuruh isterinya untuk tidur dengan lelaki lain demi mendapatkan zuriat
4) Kahwin al-rahth iaitu seorang wanita mempunyai kurang daripada sepuluh lelaki saling mengenal dan menggaulinya di mana akhirnya si wanita itu akan menentukan siapa bapa anak yang dikandungnya
5) Kahwin al-baghaya atau pelacur.
6) Nikah al-ahibba atau 'kahwin kekasih' di mana suami isteri sedia maklum masing-masing mempunyai pasangan lain.

Semua bentuk perkahwinan ini dilarang dan diharamkan Islam secara kekal dan yang dibenarkan adalah perkahwinan yang wujud sekarang.Perkahwinan tanpa tanggungjawab jejas kestabilan institusi keluarga

Perkahwinan misyar membawa maksud suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.

Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini.

Seprti selalu apabila ianya bersabit dengan hukum hakam, tentu saja isu seperti ini akan mengundang perdebatan hangat kerana apa saja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitif dan sekiranya tidak ditangani dengan betul, ia akan mengundang kontroversi yang berpanjangan.

Apakah benar pernikahan misyar salah satu cara mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin? Dan apa pula bezanya dengan perkahwinan mutaah?
Perkahwinan mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.

Nikah Misyar tidak wajar. Ramai wanita, baik yang berpendidikan tinggi sekalipun, tidak mungkin bersetuju dengan perkahwinan misyar ini. Fitrah wanita itu sendiri memerlukan perlindungan dari kaum lelaki untuk menjaga dan memberi keperluan asas kepada mereka. Sifat lahiriah seorang lelaki pula yang lebih kuat fiziknya tidak memungkinkan peranan lelaki yang sinonim dengan tanggungjawab dan amanah digalas oleh wanita.

Pendapat ini bukan berdasarkan emosi atau satu pandangan yang cetek dari pemikiran yang dangkal tentang hukum dan tuntutan Islam. Di mana letaknya nilai keadilan dan pembelaan hak asasi wanita? Siapa pula yang patut mendukung peranan membela dan mencukupkan keperluan anak-anak? Semenjak azali, lelakilah yang menjadi nakhoda dan tanggungjawab keseluruhan pentadbiran rumahtangga itu sendiri terletak di bahu lelaki. Wanita atau Isteri sekadar membantu mentadbir.

Kenapa pula tiba-tiba peranan ini dianggap mudah. Semacam ada yang tidak kena apabila senario ini berlaku. Teringat saya kepada zaman jahilah di Arab, ketika bayi perempuan ditanam secara hidup-hidup dan wanita diperlakukan sesuka hati dan martabat wanita terletak begitu rendah sekali.

Bagi saya perkahwinan misyar adalah satu penghinaan kepada kaum wanita dan secara langsung memberi izin kepada lelaki untuk tidak bertanggungjawab.

Nabi Muhammad SAW sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan nafkah zahir.

Misyar galak lelaki menjadi gigolo

Adakah kerana wanita lebih kaya dan berkemampuan maka suami tidak perlu lagi menjalankan tanggungjawab yang lain selain daripada tenaga batin. Inikah hak persamaan taraf yang ingin ditekankan. Sudahlah hak poligami milik lelaki sudah cukup menyiksa isteri, keadilan dan layanan yang sama tara adalah milik mutlak seorang yang bernama lelaki.

Andaikata tuntutan sesuatu perkahwinan itu sekadar memenuhi tenaga batin wanita, maka apa bezanya lelaki kita dengan gigolo dan wanita sebagai hamba seks atau dalam erti kata lain sama tarafnya dengan perempuan murahan?

Janganlah dicemar ikatan perkahwinan yang mulia dan suci. Nikah misyar adalah nikah nafsu dan nafsu itu sendiri perlu dididik dan dibendung agar tidak menguasai diri tetapi kalau itulah tujuan sesuatu perkahwinan untuk memuaskan hawa nafsu, di manakah sifat mulia dan malu umat yang bernama lelaki.

Antara maruah wanita dan mencegah maksiat?

Maruah wanita perlu dijaga. Jangan biar diri wanita diletak ditempat yang begitu rendah. Wanita semulia-mulia kejadian dianugerahkan keupayaaan melahirkan anak. Adakah sekadar melepaskan tanggungjawab melakukan keperluan seks sudah melayakkan seorang lelaki bergelar suami. Renungkanlah.

Janganlah dijadikan alasan menangani maksiat untuk memartabatkan nikah misyar. Kita diberi akal untuk berfikir bukan untuk mencari alasan. Apa kaitan maksiat dengan nikah misyar?

Apa yang perlu untuk menyelesaikan kes maksiat adalah dengan mencari jalan bagaimana untuk menundukkan nafsu seks dan puasa salah satu darinya.

Sejauhmana nikah misyar membantu menyelesaikan maksiat? Pendidikan agama penting diterapkan di dalam diri anak-anak muda kita supaya mereka sedar apa yang mereka lakukan ialah satu dosa. Perkhidmatan kaunseling patut diberikan dan banyak lagi langkah yang bernas kita boleh ambil untuk mengatasinya.

Wanita tidak mahu berkahwin adalah satu masalah yang perlu diselesaikan tetapi jangan pula keadaan ini dijadikan alasan utama kepada perkahwinan misyar. Persoalannya sekarang apakah kewajarannya?

Adakah wanita sanggup berkahwin dengan seorang lelaki yang hanya melaksananakan tanggungjawab tenaga batin dan kepuasan nafsu semata-mata? Janganlah merendahkan martabat lelaki ke taraf sang gigolo yang suka mengambil kesempatan.

Wanita tidak kahwin kerana lelaki rendah moral?

Wanita hari ini tidak berkahwin kerana ramai lelaki semakin tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai moral yang boleh dibanggakan seperti sebilngan besar yang memilih untuk menjalani kehidupan homoseksual.

Cuba tanya wanita mana yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang tidak mahu melaksanakan tanggungjawab nafkah dan lain-lain. Adakah wanita normal yang cuma inginkan kepuasan seks sahaja sebagai syarat perkahwinan?

Ramai wanita tidak berkahwin kerana mereka sendiri tidak percaya dengan instituisi perkahwinan itu sendiri dan sikap lelaki yang tidak dapat memberi keyakinan membuat wanita tawar hati.

Semakin sukar mencari lelaki yang bertanggungjawab, jadi jalan penyelesaiannya bukan nikah misyar kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan.

Wanita memerlukan seorang lelaki yang boleh mereka harapkan, menjaga, menyayangi dan melindungi mereka – beriman dan bertanggungjawab.

Perkahwinan bukan untuk tuntutan seks semata-mata. Itu kesilapan besar yang perlu kita betulkan agar umat Islam tidak dipandang serong oleh masyarakat lain. Bagi kaum lelaki, jadilah lelaki sejati yang beriman dan berkahwin misyar tentu sahaja bukan jalan yang betul untuk menuju ke arah itu!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *