Kahwin Misyar – Part 1

Hmmm.. nampaknya ramai orang yang nak kahwin tahun ni… tak tahu kenapa tahun ni begitu istimewa untuk mereka? 2-3 kawan poly aku akan kahwin tahun ni, adik kawan aku pun tahun ni dan 2-3 kawan sitizon aku pun tahun ni…

Bagi aku 2007 adalah tahun istimewa sebab 7 adalah nombor bertuah aku. Bagi orang-orang cina mungkin 2008 menjadi pilihan mereka.

Apa-apa pun sila baca artikal dari Berita Harian ni… sungguh berinfomatif.

KAHWINLAH BAGI BAHAGIA BERSAMA
Oleh
Ismail Haron

ISU kahwin misyar masih hangat diperkatakan.

Ia timbul sejak pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Datuk Mahmud Zuhdi Abdul Majid, menge syorkanya di Malaysia demi mengatasi masalah wanita yang berkelayakan dan lama membujang untuk mendapat jodoh.

Maka ia menjadi isu. Ada yang menyokong dan ada membantah.

Ada dua isu di sini:

Erti sebenar nikah misyar, dan
pelaksanaan yang adil dan ihsan

Kahwin misyar ialah satu cara perkahwinan yang mematuhi syarak. Bezanya dengan perkahwinan biasa ialah suami dikecualikan daripada memberikan nafkah zahir kepada isteri.

Alim besar Sunni, Profesor Dr Muhammmad Sayyid Tantawi, semasa berada di Kuala Lumpur, menjelaskan bahawa nikah misyar sah mengikut syarak – serupa dengan pendapat ulama seperti Dr Yusuf Qardhawi.

Duduk perkara

Mengkritik dan mencemuh sesuatu yang diizinkan oleh syarak memang tidak wajar bagi seorang yang beragama Islam, terutama jika ia daripada 'ahli agama'.

Ini membuka peluang kepada mereka yang jahil atau tidak menyukai Islam kian memandang rendah kepada agama ini.

Kita harus bersifat terbuka dalam mencari kaedah bagi menyelesaikan masalah umat. Tidak perlu kita menyalahkan nikah misyar memandangkan ia merupakan antara cara untuk mengatasi kadar tinggi perceraian atau membolehkan perkahwinan.

Banyak faktor menimbulkan perceraian atau menyukarkan orang berumah tangga. Masalah ini bukan dihadapi umat Islam saja, bahkan seluruh kemanusiaan.

Demi kemaslahatan umat Islam, kita harus berfikiran saintifik dalam membedah masalah, dan bukan menurut rasa sangsi atau prasangka.

Membela wanita

Masalah memang rencam. Nikah misyar bertujuan menjadi jalan keluar untuk membantu wanita berkelayakan tetapi sukar mencari jodoh. Ia juga bertujuan memastikan masalah kehausan seks yang merupakan salah satu sebab perkahwinan, diatasi secara halal.

Tidak hairanlah kahwin misyar sudah lama diamalkan di banyak negara Timur Tengah.

Pernikahan merupakan ikatan (akad) atau kontrak. Ia dibuat atas syarat utama – persetujuan bersama, tanpa sebarang paksaan.

Nikah misyar dilihat secara serong bahawa:

Ia menjejas hak wanita terutama jika mendapat anak atau sakit dan memerlukan bantuan.
Ia hanya membuat si suami bak 'gigolo'.

Sebenarnya, tiada penganiayaan terhadap wanita jika syarat pernikahan misyar tadi jelas.

Pertama, kian ramai wanita berpendidikan tinggi, bekerja dan mempunyai harta sendiri.

Di universiti setempat saja, nisbah lelaki Islam dan wanita adalah 1:3. Hakikatnya, bilangan wanita terpelajar tetapi membujang terus meningkat dalam kalangan masyarakat Islam.

Kedua, kian bertambah bilangan wanita Islam di sini yang mampu menyara hidupnya seorang diri. Bahkan sudah ada yang mengambil anak angkat seperti anak saudara, jika mereka ditakdirkan terus membujang tetapi kelak tiada 'penjaga' pada hari tua.

Tanggungjawab suami

Sebenarnya, umat Islam dan bahkan kemanusiaan di seluruh dunia menghadapi krisis kebapaan (fatherhood crisis).

Ini kerana kian ketara trend lelaki yang tidak memenuhi potensi untuk menyara keluarga.

Zaman bahari, lelaki bekerja dan isteri diam di rumah sebagai pengamanah rumah tangga dan anak-anak. Kemudian muncul trend suami isteri bekerja.

Kini ada trend baru atau 'terbalik kot' – lelaki duduk rumah dan jaga anak tetapi isteri bekerja.

Seyogia, dalam perkahwinan biasa pun, ramai lelaki yang lama tidak memberi nafkah zahir kepada isteri mereka. Banyak kajian sosial yang mendedahkan semua trend tadi.

Sekadar pilihan

Misyar atau tidak, itulah persoalannya. Ia lebih memberatkan wanita berkelayakan dan berada (syarat pokoknya) sebagai pemutus bicara.

Terpulanglah kepada wanita yang melaksanakan kahwin misyar untuk mengatasi tanggapan – kononnya perkahwinan jenis ini merendahkan harga dirinya semata-mata untuk memenuhi dahaga nafsunya.

Pokoknya, dari segi syarak, ia dibolehkan dan sudahpun diamalkan.

Perihal wanita berkelayakan dan berada meminang lelaki serba kekurangan bukan baru.

Dalam sirah Nabawi, hartawan berpengaruh, Siti Khadijah yang berusia 40 tahun, melamar Muhammad (25 tahun sebelum menjadi Nabi). Tentulah ada hikmah di sebalik peristiwa agung ini untuk kita memikirkannya?

Sering dinilai poligami diizinkan Islam untuk sekadar untuk melampiaskan nafsu saja. Padahal, ia juga bertujuan membela para balu yang kehilangan suami dalam perang membela Islam pada zaman Nabi saw.

Perkahwinan misyar tiada banyak bezanya dengan perkahwinan biasa. Semua syarat syarak seperti ijab dan kabul, mas kahwin dan kesaksian waliserupa perkahwinan biasa.

Yang ketara ialah kedua-dua pihak bersetuju untuk menolak satu dua haknya agar sama-sama dapat hidup dengan aman dan bahagia seperti pasangan lain.

Bagaimana dengan anak?

Mempunyai anak atau tidak merupakan keputusan pasangan.

Seandainya mereka ingin mempunyai anak, maka kedua-dua ibu bapa harus menunaikan kewajipan sebagai ibu bapa kepada anak tersebut. Dan seandainya terjadi perceraian, kedua-dua ibu bapa tetap bertanggungjawab ke atas anak mereka.

Soal anak atau keturunan di dalam perkahwinan misyar bukan suatu keharusan. Sama juga halnya dengan perkahwinan biasa. Kalau dalam setiap perkahwinan 'diwajibkan' ada anak, bagaimana pula perkahwinan wanita yang mandul atau wanita yang putus haid?

Kefahaman masyarakat kita mengenai perkahwinan dan syarak masih perlu dipertingkat. Bagi pihak yang belum mengerti, belajarlah terlebih dulu demi mengurangkan kekeliruan.

Kahwin misyar merupakan satu pilihan (opsyen). Umat Islam Singapura boleh me nimbangkannya jika ia didapati dapat membantu golongan wanita berkelayakan yang terus membujang.

Ikhtiar merupakan teras dalam Islam. Ia boleh dilakukan menerusi jalan fikah (perundangan) sehinggalah kerjasama masyarakat.

Yang utama, dalam setiap hal atau 'berita baru', umat Islam disuruh agama agar menyiasat, mendapatkan maklumat (menimba ilmu) dan membuat pertimbangan adil lagi ihsan. Ini merupakan cara untuk kita menjadi umat cemerlang lagi disegani.

Nota: Penulis berijazah sarjana dan seorang pendakwah bebas.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *