Monthly Archive: June 2006

Kahwin Misyar – Part 2

Ni pula cerita Kahwin Misyar dari mSTAR Online

Nikah Misyar galak lelaki jadi gigolo dan wanita hamba seks!
14-06-2006 05:46:45 PM
Zieman
Kecoh apabila pensyarah universiti Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid tiba-tiba mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita bujang dan andartu di negara ini.

Menurut beliau, perkahwinan misyar mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat pula berkata misyar dibolehkan dalam Islam asal saja seseorang wanita itu memberikan keizinan.

Prinsipnya tak ubah macam berpoligami di mana wanita memberi izin. Oleh kerana penerangan mengenai hukum mengenainya masih samar, dikhuatiri, ianya akan menerima nasib serupa seperti poligami, meskipun halal namun masih dipandang dengkel oleh sebahagian masyarakat kita.

Tentu ada dalil kenapa misyar diboleh atau diharuskan kerana masa kan orang alim yang disegani seperti Syeikh Dr Muhammad Tantawi berani mengeluarkan fatwa sekiranya beliau tidak mengkajinya dengan teliti.

Tapi apakah sandaran dalil Al-Quran dan As-sunnah yang menjadi hujahnya? Itu yang ramai ulama kita masih berbelah bagi.

Tapi apa yang memeranjatkan, menurut undian yang dilakukan oleh mStar "Adakah wajar perkahwinan misyar diamalkan dinegara kita?", seramai 68.3% bersetuju dengan konsep nikah misyar ini dan hanya 24.1% sahaja yang tidak bersetuju sementara 7.6% berkata ianya bergantung kepada keadaan.

Walau apapun pendapat tinjauan yang dibuat, isu nikah misyar ini tidak boleh dianggap mudah kerana kesannya besar dan boleh memudaratkan kepada kaum wanita dan anak-anak di dalam jangkamasa panjang.

Dari mana asalnya Misyar?

Ada sepuluh bentuk mubalaghah dalam bahasa Arab dan dua di antaranya adalah dua perkataan ini – zawwaq dan mitlaq. (Lihat, al-Jurnani, Shaza al-'Arf fi fanal-Sarf). Zawwaq yang berasal dari zauq atau rasa, mempunyai erti banyak atau sering 'merasakan' dengan pengertian selalu berkahwin manakala mitlaq yang berasal dari talaq mempunyai erti banyak atau selalu melakukan perceraian.

Mitlaq membawa maksud kata misyar yang sedang heboh diperkatakan sekarang. Kedua-duanya dalam satu bentuk mubalaghah yang sama iaitu mif'al. Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara.

Jadi kahwin misyar adalah kahwin pengembara. Bunyinya sahaja dah pelik, apa lagi kalau kita cuba mengkaji kewarasan diharuskan nikah misyar ini diwaktu sekarang.
Ini adalah kerana pengamalnya secara nyata adalah kerahsiaan, tidak ada wali, tidak perlu memberi nafkah zahir, tidak perlu tinggal bersama dalam satu bumbung dan si lelaki mempunyai niat menceraikan siperempuan bila-bila masa tanpa diketahui bila masanya sahaja.

Sejarah Nikah Misyar dan Jenis Kahwin yang diharamkan

Di dalam sejarah kedatangan Islam ke Makkah, terdapat banyak bentuk perkahwinan yang diamalkan orang jahiliyyah.

Di antaranya:
1) Kahwin al-maqt iaitu anak tertua mengahwini isteri bapa yang meninggal dunia
2) Kahwin al-khidn iaitu seorang isteri mempunyai lelaki lain selain suaminya
3) Kahwin al-istibda' iaitu si suami menyuruh isterinya untuk tidur dengan lelaki lain demi mendapatkan zuriat
4) Kahwin al-rahth iaitu seorang wanita mempunyai kurang daripada sepuluh lelaki saling mengenal dan menggaulinya di mana akhirnya si wanita itu akan menentukan siapa bapa anak yang dikandungnya
5) Kahwin al-baghaya atau pelacur.
6) Nikah al-ahibba atau 'kahwin kekasih' di mana suami isteri sedia maklum masing-masing mempunyai pasangan lain.

Semua bentuk perkahwinan ini dilarang dan diharamkan Islam secara kekal dan yang dibenarkan adalah perkahwinan yang wujud sekarang.Perkahwinan tanpa tanggungjawab jejas kestabilan institusi keluarga

Perkahwinan misyar membawa maksud suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.

Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini.

Seprti selalu apabila ianya bersabit dengan hukum hakam, tentu saja isu seperti ini akan mengundang perdebatan hangat kerana apa saja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitif dan sekiranya tidak ditangani dengan betul, ia akan mengundang kontroversi yang berpanjangan.

Apakah benar pernikahan misyar salah satu cara mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin? Dan apa pula bezanya dengan perkahwinan mutaah?
Perkahwinan mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.

Nikah Misyar tidak wajar. Ramai wanita, baik yang berpendidikan tinggi sekalipun, tidak mungkin bersetuju dengan perkahwinan misyar ini. Fitrah wanita itu sendiri memerlukan perlindungan dari kaum lelaki untuk menjaga dan memberi keperluan asas kepada mereka. Sifat lahiriah seorang lelaki pula yang lebih kuat fiziknya tidak memungkinkan peranan lelaki yang sinonim dengan tanggungjawab dan amanah digalas oleh wanita.

Pendapat ini bukan berdasarkan emosi atau satu pandangan yang cetek dari pemikiran yang dangkal tentang hukum dan tuntutan Islam. Di mana letaknya nilai keadilan dan pembelaan hak asasi wanita? Siapa pula yang patut mendukung peranan membela dan mencukupkan keperluan anak-anak? Semenjak azali, lelakilah yang menjadi nakhoda dan tanggungjawab keseluruhan pentadbiran rumahtangga itu sendiri terletak di bahu lelaki. Wanita atau Isteri sekadar membantu mentadbir.

Kenapa pula tiba-tiba peranan ini dianggap mudah. Semacam ada yang tidak kena apabila senario ini berlaku. Teringat saya kepada zaman jahilah di Arab, ketika bayi perempuan ditanam secara hidup-hidup dan wanita diperlakukan sesuka hati dan martabat wanita terletak begitu rendah sekali.

Bagi saya perkahwinan misyar adalah satu penghinaan kepada kaum wanita dan secara langsung memberi izin kepada lelaki untuk tidak bertanggungjawab.

Nabi Muhammad SAW sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan nafkah zahir.

Misyar galak lelaki menjadi gigolo

Adakah kerana wanita lebih kaya dan berkemampuan maka suami tidak perlu lagi menjalankan tanggungjawab yang lain selain daripada tenaga batin. Inikah hak persamaan taraf yang ingin ditekankan. Sudahlah hak poligami milik lelaki sudah cukup menyiksa isteri, keadilan dan layanan yang sama tara adalah milik mutlak seorang yang bernama lelaki.

Andaikata tuntutan sesuatu perkahwinan itu sekadar memenuhi tenaga batin wanita, maka apa bezanya lelaki kita dengan gigolo dan wanita sebagai hamba seks atau dalam erti kata lain sama tarafnya dengan perempuan murahan?

Janganlah dicemar ikatan perkahwinan yang mulia dan suci. Nikah misyar adalah nikah nafsu dan nafsu itu sendiri perlu dididik dan dibendung agar tidak menguasai diri tetapi kalau itulah tujuan sesuatu perkahwinan untuk memuaskan hawa nafsu, di manakah sifat mulia dan malu umat yang bernama lelaki.

Antara maruah wanita dan mencegah maksiat?

Maruah wanita perlu dijaga. Jangan biar diri wanita diletak ditempat yang begitu rendah. Wanita semulia-mulia kejadian dianugerahkan keupayaaan melahirkan anak. Adakah sekadar melepaskan tanggungjawab melakukan keperluan seks sudah melayakkan seorang lelaki bergelar suami. Renungkanlah.

Janganlah dijadikan alasan menangani maksiat untuk memartabatkan nikah misyar. Kita diberi akal untuk berfikir bukan untuk mencari alasan. Apa kaitan maksiat dengan nikah misyar?

Apa yang perlu untuk menyelesaikan kes maksiat adalah dengan mencari jalan bagaimana untuk menundukkan nafsu seks dan puasa salah satu darinya.

Sejauhmana nikah misyar membantu menyelesaikan maksiat? Pendidikan agama penting diterapkan di dalam diri anak-anak muda kita supaya mereka sedar apa yang mereka lakukan ialah satu dosa. Perkhidmatan kaunseling patut diberikan dan banyak lagi langkah yang bernas kita boleh ambil untuk mengatasinya.

Wanita tidak mahu berkahwin adalah satu masalah yang perlu diselesaikan tetapi jangan pula keadaan ini dijadikan alasan utama kepada perkahwinan misyar. Persoalannya sekarang apakah kewajarannya?

Adakah wanita sanggup berkahwin dengan seorang lelaki yang hanya melaksananakan tanggungjawab tenaga batin dan kepuasan nafsu semata-mata? Janganlah merendahkan martabat lelaki ke taraf sang gigolo yang suka mengambil kesempatan.

Wanita tidak kahwin kerana lelaki rendah moral?

Wanita hari ini tidak berkahwin kerana ramai lelaki semakin tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai moral yang boleh dibanggakan seperti sebilngan besar yang memilih untuk menjalani kehidupan homoseksual.

Cuba tanya wanita mana yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang tidak mahu melaksanakan tanggungjawab nafkah dan lain-lain. Adakah wanita normal yang cuma inginkan kepuasan seks sahaja sebagai syarat perkahwinan?

Ramai wanita tidak berkahwin kerana mereka sendiri tidak percaya dengan instituisi perkahwinan itu sendiri dan sikap lelaki yang tidak dapat memberi keyakinan membuat wanita tawar hati.

Semakin sukar mencari lelaki yang bertanggungjawab, jadi jalan penyelesaiannya bukan nikah misyar kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan.

Wanita memerlukan seorang lelaki yang boleh mereka harapkan, menjaga, menyayangi dan melindungi mereka – beriman dan bertanggungjawab.

Perkahwinan bukan untuk tuntutan seks semata-mata. Itu kesilapan besar yang perlu kita betulkan agar umat Islam tidak dipandang serong oleh masyarakat lain. Bagi kaum lelaki, jadilah lelaki sejati yang beriman dan berkahwin misyar tentu sahaja bukan jalan yang betul untuk menuju ke arah itu!

Kahwin Misyar – Part 1

Hmmm.. nampaknya ramai orang yang nak kahwin tahun ni… tak tahu kenapa tahun ni begitu istimewa untuk mereka? 2-3 kawan poly aku akan kahwin tahun ni, adik kawan aku pun tahun ni dan 2-3 kawan sitizon aku pun tahun ni…

Bagi aku 2007 adalah tahun istimewa sebab 7 adalah nombor bertuah aku. Bagi orang-orang cina mungkin 2008 menjadi pilihan mereka.

Apa-apa pun sila baca artikal dari Berita Harian ni… sungguh berinfomatif.

KAHWINLAH BAGI BAHAGIA BERSAMA
Oleh
Ismail Haron

ISU kahwin misyar masih hangat diperkatakan.

Ia timbul sejak pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Datuk Mahmud Zuhdi Abdul Majid, menge syorkanya di Malaysia demi mengatasi masalah wanita yang berkelayakan dan lama membujang untuk mendapat jodoh.

Maka ia menjadi isu. Ada yang menyokong dan ada membantah.

Ada dua isu di sini:

Erti sebenar nikah misyar, dan
pelaksanaan yang adil dan ihsan

Kahwin misyar ialah satu cara perkahwinan yang mematuhi syarak. Bezanya dengan perkahwinan biasa ialah suami dikecualikan daripada memberikan nafkah zahir kepada isteri.

Alim besar Sunni, Profesor Dr Muhammmad Sayyid Tantawi, semasa berada di Kuala Lumpur, menjelaskan bahawa nikah misyar sah mengikut syarak – serupa dengan pendapat ulama seperti Dr Yusuf Qardhawi.

Duduk perkara

Mengkritik dan mencemuh sesuatu yang diizinkan oleh syarak memang tidak wajar bagi seorang yang beragama Islam, terutama jika ia daripada 'ahli agama'.

Ini membuka peluang kepada mereka yang jahil atau tidak menyukai Islam kian memandang rendah kepada agama ini.

Kita harus bersifat terbuka dalam mencari kaedah bagi menyelesaikan masalah umat. Tidak perlu kita menyalahkan nikah misyar memandangkan ia merupakan antara cara untuk mengatasi kadar tinggi perceraian atau membolehkan perkahwinan.

Banyak faktor menimbulkan perceraian atau menyukarkan orang berumah tangga. Masalah ini bukan dihadapi umat Islam saja, bahkan seluruh kemanusiaan.

Demi kemaslahatan umat Islam, kita harus berfikiran saintifik dalam membedah masalah, dan bukan menurut rasa sangsi atau prasangka.

Membela wanita

Masalah memang rencam. Nikah misyar bertujuan menjadi jalan keluar untuk membantu wanita berkelayakan tetapi sukar mencari jodoh. Ia juga bertujuan memastikan masalah kehausan seks yang merupakan salah satu sebab perkahwinan, diatasi secara halal.

Tidak hairanlah kahwin misyar sudah lama diamalkan di banyak negara Timur Tengah.

Pernikahan merupakan ikatan (akad) atau kontrak. Ia dibuat atas syarat utama – persetujuan bersama, tanpa sebarang paksaan.

Nikah misyar dilihat secara serong bahawa:

Ia menjejas hak wanita terutama jika mendapat anak atau sakit dan memerlukan bantuan.
Ia hanya membuat si suami bak 'gigolo'.

Sebenarnya, tiada penganiayaan terhadap wanita jika syarat pernikahan misyar tadi jelas.

Pertama, kian ramai wanita berpendidikan tinggi, bekerja dan mempunyai harta sendiri.

Di universiti setempat saja, nisbah lelaki Islam dan wanita adalah 1:3. Hakikatnya, bilangan wanita terpelajar tetapi membujang terus meningkat dalam kalangan masyarakat Islam.

Kedua, kian bertambah bilangan wanita Islam di sini yang mampu menyara hidupnya seorang diri. Bahkan sudah ada yang mengambil anak angkat seperti anak saudara, jika mereka ditakdirkan terus membujang tetapi kelak tiada 'penjaga' pada hari tua.

Tanggungjawab suami

Sebenarnya, umat Islam dan bahkan kemanusiaan di seluruh dunia menghadapi krisis kebapaan (fatherhood crisis).

Ini kerana kian ketara trend lelaki yang tidak memenuhi potensi untuk menyara keluarga.

Zaman bahari, lelaki bekerja dan isteri diam di rumah sebagai pengamanah rumah tangga dan anak-anak. Kemudian muncul trend suami isteri bekerja.

Kini ada trend baru atau 'terbalik kot' – lelaki duduk rumah dan jaga anak tetapi isteri bekerja.

Seyogia, dalam perkahwinan biasa pun, ramai lelaki yang lama tidak memberi nafkah zahir kepada isteri mereka. Banyak kajian sosial yang mendedahkan semua trend tadi.

Sekadar pilihan

Misyar atau tidak, itulah persoalannya. Ia lebih memberatkan wanita berkelayakan dan berada (syarat pokoknya) sebagai pemutus bicara.

Terpulanglah kepada wanita yang melaksanakan kahwin misyar untuk mengatasi tanggapan – kononnya perkahwinan jenis ini merendahkan harga dirinya semata-mata untuk memenuhi dahaga nafsunya.

Pokoknya, dari segi syarak, ia dibolehkan dan sudahpun diamalkan.

Perihal wanita berkelayakan dan berada meminang lelaki serba kekurangan bukan baru.

Dalam sirah Nabawi, hartawan berpengaruh, Siti Khadijah yang berusia 40 tahun, melamar Muhammad (25 tahun sebelum menjadi Nabi). Tentulah ada hikmah di sebalik peristiwa agung ini untuk kita memikirkannya?

Sering dinilai poligami diizinkan Islam untuk sekadar untuk melampiaskan nafsu saja. Padahal, ia juga bertujuan membela para balu yang kehilangan suami dalam perang membela Islam pada zaman Nabi saw.

Perkahwinan misyar tiada banyak bezanya dengan perkahwinan biasa. Semua syarat syarak seperti ijab dan kabul, mas kahwin dan kesaksian waliserupa perkahwinan biasa.

Yang ketara ialah kedua-dua pihak bersetuju untuk menolak satu dua haknya agar sama-sama dapat hidup dengan aman dan bahagia seperti pasangan lain.

Bagaimana dengan anak?

Mempunyai anak atau tidak merupakan keputusan pasangan.

Seandainya mereka ingin mempunyai anak, maka kedua-dua ibu bapa harus menunaikan kewajipan sebagai ibu bapa kepada anak tersebut. Dan seandainya terjadi perceraian, kedua-dua ibu bapa tetap bertanggungjawab ke atas anak mereka.

Soal anak atau keturunan di dalam perkahwinan misyar bukan suatu keharusan. Sama juga halnya dengan perkahwinan biasa. Kalau dalam setiap perkahwinan 'diwajibkan' ada anak, bagaimana pula perkahwinan wanita yang mandul atau wanita yang putus haid?

Kefahaman masyarakat kita mengenai perkahwinan dan syarak masih perlu dipertingkat. Bagi pihak yang belum mengerti, belajarlah terlebih dulu demi mengurangkan kekeliruan.

Kahwin misyar merupakan satu pilihan (opsyen). Umat Islam Singapura boleh me nimbangkannya jika ia didapati dapat membantu golongan wanita berkelayakan yang terus membujang.

Ikhtiar merupakan teras dalam Islam. Ia boleh dilakukan menerusi jalan fikah (perundangan) sehinggalah kerjasama masyarakat.

Yang utama, dalam setiap hal atau 'berita baru', umat Islam disuruh agama agar menyiasat, mendapatkan maklumat (menimba ilmu) dan membuat pertimbangan adil lagi ihsan. Ini merupakan cara untuk kita menjadi umat cemerlang lagi disegani.

Nota: Penulis berijazah sarjana dan seorang pendakwah bebas.

Million Miles

Sekarang ni banyak betul peraduan-peraduan mencari bintang. Bermula dari “American Idol“, penganjur-penganjur tempatan mengambil kesempatan dan keuntungan mengadakan peraduan-peraduan mereka sendiri seperti “Singapore Idol“, “Anugerah“, “Anugerah Skrin” dan peraduan-peraduan adubakat untuk saluran cina dan india.Saluran-saluran Malaysia juga tidak ketinggalan dengan peraduan-peraduan mereka sendiri seperti “Malaysian Idol“, “Akademi Fantasia” dan “One in A Million“.Ulasan-ulasan:

Singapore Idol 2 (Piano Show – Group 1)
Memang senang hendak meramalkan Jonathan Leong dan Paul Twohill akan melayakkan diri kepusingan seterusnya. Terence Tay mungkin akan mendapat vote pengadil-pengadil untuk mengisi 4 tempat kosong yang khas disediakan untuk pilihan pengadil-pengadil. Singapore Idol 2, setiap Rabu (9 malam) dan khamis (9.30 malam) di CH5. Vote jangan tak vote! Harga minyak naik, harga vote pun naik! 60sen dok!

Blog Shirin, Singapore Idol 1 finalist

One in A Million (Pusingan Saringan)
Rancangan yang simple dengan 2 pengadil saja (Syafinas dan Paul Moss). Rancangan yang padat dengan peserta-peserta dan pengadil-pengadil yang tak banyak berceloteh. No time wasting, Syabas 8tv! Syarat mereka : Sesiapa sahaja yang berumur 16 tahun hingga ke 32 tahun dan termasuk artis-artis juga. Ramai juga artis-artis yang masuk rancangan ni termasuklah Dayang Nurfaizah dan Siti Saerah. Dayang mungkin boleh terus ke final, tapi untuk Saerah… suara tak ubah seperti kakaknya. Hahaha, kelakar betul tengok adik Siti Nurhaliza ni nyanyi sambil tunduk tengok lantai. Jangan lupa saksikan “One In A Million” setiap hari Jumaat 9:30 malam di 8TV.

Anugerah Skrin (Final 10)
Rancangan minggu lepas sungguh membosankan kerana pengadil “EMO” terpaksa menapis komen-komennya, salah-salah cakap nanti kena tembak dengan Dato’ Yusof Haslam. Rancangan yang menghiburkan dengan peserta-peserta yang tersasul seperti “Anguk-anguk, Gelek-gelek” dan “Pantat Besar”. Apa-apa pun pilihan aku adalah Siti Fatimah Azman atau nama glamour “Efa” (Zodiac sama dengan aku) dan Shah Iskandar Bin Mahfuz. Yang lain-lain tu, cubalah jangan pakai suara “Radio”. Boring betul! “Anugerah Skrin” setiap hari isnin jam 8.30 malam di Suria.

Gambar-gambar semasa saringan Singapore Idol 2 di Cineplex pada 11 Febuari 2006.

 
dscn25281.jpg
 
dscn25511.jpg
 
dscn25521.jpg
 

Ada orang bersusah-susah untuk mengumpul $1,000,000, ada orang bertanding di “One In A Million” untuk mendapat $1,000,000, ………. dan ada seorang tu hanya membuat satu laman web “Million Dollar Homepage“, senang-senang sahaja mendapat $1,000,000! So yang nak jadi jutawan tu, cubalah buat laman web tu mengunakan source code ni : http://www.texmedia.de/million-dollar-script.htm

Dah kaya tu jangan lupa aku pula…. Semoga berjaya!